Dilahirkan pada bulan Mac 1993 di bandar kecil Bau, Sarawak, kehidupan di zaman kanak-kanak Pandelela adalah sederhana dan serba kekurangan. Namun, olahragawati ini sangat bertuah kerana kedua ibu bapanya membesarkannya bagaikan menatang minyak yang penuh.

#WiraNegaraku

Pandelela Rinong, Atlet Penerjun Negara

Mewakili Malaysia sebagai atlet penerjun negara tidak pernah menjadi sebahagian daripada perancangan hidup bagi Pandelela Rinong. “Ia adalah satu kejutan, ” katanya ketika mengimbas kembali kejayaannya di Sukan Olimpik London 2012 yang lalu. “Saya hanya memberi tumpuan untuk melakukan yang terbaik. Saya tidak bermula dengan elok, tetapi saya melakukannya dengan baik pada dua selaman terakhir saya, akhirnya saya berjaya mendapat pingat gangsa. ”

Dengan kemenangan yang di luar jangkaan itu, Pandelela menjadi terkenal serta merta. Tiada orang menyangka bahawa Malaysia boleh membawa pulang pingat dari Sukan Olimpik, tetapi Pandelela telah membuktikan sebaliknya dengan usaha keras tanpa henti, tanpa jemu dan tidak mengenal erti putus asa – akhirnya membuahkan hasil buat beliau. Bak kata pepatah; kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

Dilahirkan pada bulan Mac 1993 di bandar kecil Bau, Sarawak, kehidupan di zaman kanak-kanak Pandelela adalah sederhana dan serba kekurangan. Namun, olahragawati ini sangat bertuah kerana kedua ibu bapanya membesarkannya bagaikan menatang minyak yang penuh. “Ibu bapa saya dan keluarga sentiasa menjadi penyokong terkuat saya,” ujar gadis Bidayuh ini lagi.

Pandelela beraksi buat pertama kalinya di dalam kolam renang semasa dia berusia 8 tahun. Bakat Pandelela mula menonjol pada usia yang begitu muda sehingga membuatkan dirinya direkrut oleh jurulatih, dan setahun kemudian dia dilatih untuk lebih serius dalam sukan renang kategori terjun papan anjal.

Selepas memenangi pelbagai pertandingan dalam peringkat negeri Sarawak, bakat dan kebolehannya telah menarik perhatian pemerhati sukan, dan akhirnya dia telah mendapat tempat yang diidam idamkan, iaitu terpilih untuk memasuki pasukan negara.

Ia merupakan satu penghormatan besar untuk gadis yang berusia 14 tahun itu dan penyertaannya di dalam pasukan negara telah mengukir pelbagai memori pahit dan manis kepadanya, terutama sekali ketika terpaksa berjauhan dengan ibu bapa dan keluarga. Ramai kanak-kanak sebaya dengannya gagal, kerana tidak dapat menahan tekanan dan dugaan ketika berjauhan dengan keluarga, ditambah lagi dengan latihan yang begitu ketat dan memerlukan mereka untuk memberi komitmen sepenuhnya tanpa berbelah bahagi. “Ini adalah sifat sukan itu,” dia menjelaskan. “Selagi anda berdedikasi dan komited, kemenangan sentiasa boleh dicapai”, tambah juara itu lagi.

Pandelela berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Beijing pada tahun 2008 tetapi gagal mendapat sebarang pingat. Berbekalkan semangat “Agi Idup Agi Ngelaban”, dia terus berlatih sehingga melayakkan diri ke Sukan Olimpik Remaja Dunia pada tahun 2010 dan seterusnya memenangi pingat perak bagi kedua-dua acara iaitu 10 meter platform dan 3 meter Springboard. “Saya harap saya telah lakukan yang terbaik,” ulas beliau.

Pandelela tidak perlu menunggu lama untuk memecahkan lagi rekod peribadinya. Kemenangan terbesar beliau adalah memenangi pingat emas yang merupakan pingat individu dan akuatik pertama bagi Malaysia pada Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, India. Kemenangan ini menjadi satu tanda aras peristiwa penting dalam pasukan terjun papan anjal Malaysia. “Saat itu adalah saat yang paling hebat bagi diri saya,” kata pelajar Sains Sukan itu. “Ia adalah salah satu daripada saat-saat terbaik dalam hidup saya.”

Pada Sukan Olimpik Rio yang lalu, Cheong Jun Hoong dan Pandelela telah memenangi pingat pertama Malaysia iaitu pingat perak dalam acara 10 meter platform wanita berpasangan. Jun Hoong-Pandelela telah mengumpul sejumlah 344.34 mata untuk menduduki tempat kedua dibelakang atlit Negara China, Chen Ruolin-Liu Huixia (354.55) .

“Saya mahu terus bersaing dan berharap untuk memenangi pingat emas Olimpik pada masa akan datang,” kata beliau. “Saya juga berharap bahawa prestasi saya masih akan berada dalam keadaan seperti sekarang apabila Sukan Olimpik Tokyo tiba pada tahun 2020!” ujarnya.

Tontoni lagi cerita-cerita negaraku.

[this div will be converted to an iframe]