Nizam tidak mahu tampil dengan produk animasi yang menjadi hiburan semata-mata, tapi juga berharap produk animasi yang dilahirkan syarikat mereka mampu memberi pendidikan kepada penonton.

#WiraNegaraku

Nizam Razak, Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta Studios

Nama Mohd Nizam Abdul Razak mungkin sedikit asing buat peminat industri kreatif. Namun bagi mereka yang setia mengikuti perkembangan dunia animasi, nama anak kelahiran Muar, Johor ini sering didengar kerana penglibatannya yang giat.

Mula mencipta nama menerusi filem animasi, Geng: Pengembaraan Bermula, Nizam bersama rakan-rakan di bawah syarikat Les’ Copaque Production juga sempat mengendalikan animasi popular Upin & Ipin selama tiga musim.

Tidak mahu terus berada di tahap selesa, Nizam kemudiannya bersama Mohd Safwan Abd Karim (Pengarah Eksekutif), Muhammad Anas Abdul Aziz (Pengarah Kreatif) dan Kee Yong Pin (Pengarah Operasi) membuka Animosta Studios pada 2009.
Menerusi syarikat berkenaan, Nizam seterusnya memperkenalkan animasi BoBoiBoy.

“Walaupun bidang animasi ini sudah lama wujud dalam industri kreatif, tapi boleh dikatakan ia adalah bidang baharu di Malaysia.

“Ini kerana sewaktu kami mula memperkenalkan Upin & Ipin dan seterusnya BoBoiBoy rujukan terutamanya mengenai animasi 3D sangat kurang.

“Namun kekurangan itu tidak langsung mematahkan semangat kami untuk mengetengahkan animasi 3D di Malaysia,” katanya.

“Jadi apabila sudah ada pengalaman dan keyakinan, saya dan rakan-rakan kemudiannya membuka Animosta Studios dan memperkenalkan BoBoiBoy,” tambahnya lagi.

Bagaimanapun, perjalanan untuk membawa sesuatu produk baharu bukanlah semudah disangka.
Namun akui Nizam, dia bersyukur kerana produk mereka kini mendapat sambutan dan kepercayaan daripada stesen televisyen dan juga syarikat besar yang sudi menjadi penaja rancangan animasi berkenaan.

“Apabila kurang rujukan, secara tidak langsung, animasi seperti BoBoiBoy bukanlah mudah untuk dihasilkan. Jadi untuk yakinkan syarikat penaja dan stesen TV juga bukan mudah.

“Namun Alhamdulillah, kami dah berjaya mengharungi masa sukar itu dan kini mendapat sokongan yang cukup baik dari stesen TV dan juga syarikat besar untuk menaja program berkenaan,” katanya.

Tambah Nizam, dia tidak mahu tampil dengan produk animasi yang menjadi hiburan semata-mata, tapi juga berharap produk animasi yang dilahirkan syarikat mereka mampu memberi pendidikan kepada penonton.

Bukan itu sahaja, Nizam juga berhasrat mengembangkan produk animasinya ke pasaran luar negara.

“Alhamdulillah setakat ini BoBoiBoy sudah mempunyai pengikut tersendiri di Indonesia, Filipina dan Vietnam.
“Malah ada di antara mereka yang sanggup mempelajari bahasa Melayu demi mengikuti episod BoBoiBoy lebih awal daripada episod alih bahasa. Namun harapan kami, karya animasi syarikat kami akan mampu menembusi pasaran antarabangsa termasuk Eropah,” katanya.

Tidak hanya sekadar menghasilkan rancangan TV, Nizam berkata, mereka juga kini merancang untuk mengeluarkan permainan berasakan watak-watak animasi terbitannya.

“Buat masa ini segalanya masih di peringkat perbincangan. Bagaimanapun kami sudah mula merisik pihak tertentu di Jepun yang menghasilkan barang permainan berasaskan watak-watak animasi.

“Jika keadaan mengizinkan, Insya-Allah kita akan keluarkan barangan permainan ini tidak lama lagi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nizam berkata selepas selesai dengan filem BoBoiBoy: The Movie, dia akan mula memperkenalkan sebuah lagi siri animasi terbaru.

#Negaraku #CeritaNegaraku

Tontoni lagi cerita-cerita negaraku.

[this div will be converted to an iframe]