Pencapaian terbesar Azizulhasni adalah memenangi pingat emas dalam Kejohanan Dunia Berbasikal Trek UCI 2017.

#WiraNegaraku

Azizulhasni Awang, Juara Dunia Acara Keirin

Mohd Azizulhasni bin Awang, lahir 5 Januari 1988, adalah seorang pelumba basikal trek profesional Malaysia. Dia digelar “The Pocket Rocketman” kerana tubuh badannya yang kecil berbanding dengan pelumba-pelumba yang lain, dan dia merupakan pelumba Malaysia yang pertama untuk memenangi pingat di UCI Track Cycling World Championships dan di Sukan Olimpik.

Azizulhasni adalah atlet terpilih untuk membawa dan mengibarkan Jalur Gemilang untuk pasukan kebangsaan Malaysia di Sukan Olimpik Beijing 2008. Dia juga memenangi pingat perak pertamanya pada kejuaraan lumba basikal dunia pada 2009 dan pingat gangsa di Sukan Olimpik 2016 di Brazil.

Dilahirkan di Dungun, Terengganu, Azizul merupakan anak ke-lapan daripada sembilan adik-beradik. Dia menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Batu 48 di Dungun, dan meneruskan pengajian menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Omar di Dungun, sebelum berpindah ke Sekolah Sukan Negara di Bukit Jalil.

Azizul memulakan kerjayanya seawal umur 10 tahun selepas menonton perlumbaan basikal abangnya. Dia telah dilatih oleh Pasukan Berbasikal Dungun sebelum memasuki Sekolah Sukan di Bukit Jalil. Dia amat berterima kasih kepada arwah bapanya yang telah membelikannya basikal terpakai sebagai ganjaran mendapat keputusan yang cemerlang, 7A 1B dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Berdasarkan keputusannya yang hebat itu, Azizul menerima tiga tawaran dari MRSM, Sekolah Sains dan Sekolah Sukan. Dia tersepit, sama ada mahu menjadi atlet ataupun menjadi seorang doktor. Oleh kerana minatnya yang sangat mendalam dalam sukan berbasikal, dia mengambil keputusan yang nekad untuk melanjutkan pelajaran di Sekolah Sukan Bukit Jalil dan mengejar cita-citanya sebagai seorang atlet berbasikal.

Disangkakan panas hingga ke petang, tetapi hujan di tengah hari – begitu juga yang terjadi kepada Azizul. Pada bulan Februari 2011, dia telah terlibat dalam kemalangan semasa perlawanan akhir acara keirin dalam Piala Dunia pertama di Manchester. Dia telah mengalami kecederaan serius apabila 20 cm serpihan kayu menembusi betisnya. Oleh sebab itu, dia telah diketepikan daripada Kejohanan Dunia tahun itu.

Atas dedikasi, dan komitmennya yang tinggi dan tidak berbelah bagi terhadap sukan berbasikal, dia telah bangkit daripada kecederaannya. Dan pada tahun ini, dia telah bergelar Juara Dunia Acara Keirin di dalam Kejohanan Dunia Berbasikal Trek UCI 2017.

#Negaraku #CeritaNegaraku

Tontoni lagi.

[this div will be converted to an iframe]